Selasa, 28 September 2010

Kerajaan UMNO Terengganu mengamalkan Khurafat

Kerajaan Negeri Terengganu menerusi Majlis Perbandaran Dungun (MPD) telah membelanjakan RM390,000 wang rakyat untuk membaik-pulih bongkah Batu Penyu di Bukit Che Hawa.

PAS menyifatkan kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) Terengganu mempercayai 'Batu Penyu' sebagai 'ibu semangat' yang menentukan kedatangan penyu ke Rantau Abang sebagai khurafat sekaligus membazirkan wang rakyat.

(Gambar - Batu Penyu.... asalnya hanya satu ketul batu biasa, kemudian ia mula dipagar (gambar bawah) dan kini didirikan bangunan diatas bongkah batu tersebut. ( rujuk gambar utusan Malaysia, 13 julai 2010)

Jumlah kewangan yang begitu besar itu adalah jauh lebih baik sekiranya digunakan bagi keperluan membantu rakyat yang ramai lagi masih miskin di negeri ini.

“Sebenarnya (laporan) banyak penyu yang mati di laut kerana terjerat pukat, mati oleh pemangsa, dibunuh oleh manusia yang tidak bertanggungjawab dan bukan kerana Batu Penyu yang dijadikan ‘ibu semangat’ kepada reptilia itu,” jelasnya.

Justeru itu, katanya amalan mempercayai bongkah batu mempunyai ‘kuasa’ tertentu hingga perlu dijaga (pelihara) boleh menyesatkan aqidah dan pemikiran umat Islam.

Penduduk percaya penyu tertarik datang ke Rantau Abang kerana Batu Penyu itu menjadi ‘ibu semangat’ yang memanggil mereka. Sebab itu apabila batu itu mulai rosak dan hilang bentuk sejak beberapa tahun lalu, ia dipercayai menjadi punca kemerosotan kedatangan penyu ke pantai itu. (Berita Harian, 6 Julai 2010)

Sepatutnya Majlis Agama Islam Negeri atau pejabat Mufti menasihati kerajaan Negeri supaya tidak menyuburkan lagi kepercayaan amalan khurafat ini kepada rakyat Terengganu Darul Iman.

http://tokbatin2008.blogspot.com

Rabu, 10 Februari 2010

Pemimpin yang sebenar

(Gambar hiasan)

Seorang wartawan diberi peluang makan malam bersama dua orang calon perdana menteri, secara berasingan. Dia diminta untuk menilai siapakah yang lebih layak untuk menjadi perdana menteri (PM) diantara dua orang calon itu.

Pada hari pertama, wartawan tersebut pun makan bersama calon PM yang pertama. Mereka berbual pelbagai topik dan isu. Perbualan itu sungguh hebat, berlangsung lebih 2 jam, penuh rancak dan menarik. Seusainya, beliau ditanya : "Bagaimana dengan makan malam bersama calon PM itu?"

Tanpa teragak-agak beliau menjawab: "Saya mendapat banyak input yang bermanfaat. Tidak syak lagi dialah manusia yang paling bijak dan berkemampuan."

Esoknya, giliran makan malam bersama calon PM yang kedua pula. Mereka juga berbual tentang pelbagai isu dan perkara. Perbualan itu sungguh mesra. Ia juga berlangsung lebih dua jam. Sebaik keluar dari majlis tersebut, dia ditanya : "Bagaimana makan malam dengan calon PM kedua ini?"

Tanpa berfikir panjang dia menjawab : "Sepanjang bersamanya saya merasakan sayalah orang yang bijak dan paling berkemampuan!"

"Jadi, siapa yang saudara rasa layak untuk menjadi perdana menteri?"

"Calon kedua."

"Rasanya saudara kata calon pertama lebih bijak?"

"Bukan itu kriteria utama menjadi seorang pemimpin," kata wartawan itu.

"Kalau bukan itu, habis apa?"

"Seorang pemimpin mesti mampu membuat orang dibawah pimpinannya merasa bijak. Bukannya dia hanya membuat pengikutnya kagum dengan kebijaksanaanya!"

Pengajaran :

Pemimpin mesti sentiasa berfikir demi kemaslahatan pengikutnya. Bukan berfikir untuk kepentingan dirinya. Kebijaksanaan sahaja tidak cukup untuk memimpin dengan baik. Sikap amanah dan prihatin kerap kali mengatasi kebijaksanaan dalam menawan hati pengikut.

dipetik daripada : Majalah Solusi. isu No. 15

p/s: inilah cerita yang tok janjikan tempoh hari

Selasa, 9 Februari 2010

Berbincang bukan bekerjasama

Pada Khamis, 4 Februari lepas Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz, Menteri Besar Kelantan hadir ke majlis penutup Seminar Pemikiran Islam mengenai pemakaian 'kalimah Allah' di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa. Seminar tersebut anjuran Tabung Amanah Tok Kenali (Tatok) dengan kerjasama NGOs. Tatok merupakan sebuah badan amanah di bawah Kerajaan Negeri Kelantan yang diterajui Mohd Khir Zahri Abd Ghani.

Seminar tersebut diisi dengan forum oleh barisan ahli panel terdiri daripada Ketua Eksekutif Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra, Dr Johari Mat; Editor akhbar Herald, Lawrence Andrew dan dan Loo Coo Chiang mewakili penganut Buddha. Di samping sesi pembentangan kertas kerja oleh Dr. Mohamad Noor Manuty dan Wan Ji Wan Hussin.

Dalam ucapan penutup Tuan Guru Nik Abdul Aziz telah memulakan dengan petikan firman Allah bermaksud:

“Rasul (Nabi Muhammad SAW) sendiri telah beriman kepada al-Quran yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, demikian pula orang-orang yang beriman. Semuanya beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya dan rasul-rasul-Nya (mereka mengatakan); “Kami tidak membeza-bezakan antara seseorang pun (dengan yang lain) dari rasul-rasul-Nya,” dan mereka mengatakan; “Kami dengar dan kami taat,” (mereka berdoa); “Ampunilah kami ya Tuhan kami dan kepada Engkaulah tempat kembali. (al-Baqarah, ayat 285)

"Sesungguhnya pihak Kerajaan Negeri Kelantan dengan dasar Membangun Bersama Islam sentiasa mengamalkan toleransi dalam kehidupan masyarakat pelbagai kaum. Ia sesuai dengan amalan agama Islam sendiri yang berteraskan nilai-nilai sejagat yang boleh diterima oleh semua kaum tanpa mengira warna kulit, budaya dan adat resam. Maka, Kerajaan Negeri amat komited di dalam melaksanakan pentadbiran ke arah perdamaian, ketenangan dan kesejahteraan untuk semua kaum dan agama.

"Oleh itu, penganjuran Seminar Pemikiran Islam ini amat dialu-alukan dan ia amat wajar ke arah memahami secara lebih mendalam inti pati ilmu Islam di dalam menangani persoalan kehidupan semasa. Walaupun, seminar kali ini memfokuskan kepada isu “pemakaian kalimah Allah,” apa yang saya harapkan ia mampu mengemukakan asas-asas ilmu yang merangkumi kesemua aspek kehidupan yang ada kaitannya dengan aspek kehidupan yang berasaskan keagamaan. Kerana Islam adalah cara hidup yang lengkap, menganjurkan keselamatan, kesejahteraan dan kedamaian. Sesuai dengan firman Allah yang bermaksud, “Masuklah kamu ke dalam agama Islam yang membawa keselamatan, kesejahteraan dan perdamaian.” (al-Baqarah ayat 208)

"Semoga Seminar ini yang diisi dengan sesi pembentangan dan sesi forum telah menemui persefahaman yang jitu dan dapat merapatkan hubungan harmoni antara kaum dan agama di negeri dan negara ini.

Sementara ketika sidang media selepas selesai sesi ucapan penutup itu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz telah menegaskan, "segala kemelut agama dalam negara hari ini adalah disebabkan kegagalan Umno yang mentadbir negara ini lebih 50 tahun."

Hakikatnya, penegasan Tuan Guru Nik Abdul Aziz pada sidang media itu boleh difahami betapa, "Umno telah gagal memberitahu Islam sebenar kepada rakan-rakan kita yang bukan beragama Islam, gagal mempraktikkan Islam sebenar malah menolak undang-undang Islam di dalam mentadbir negara, menerima sekular dan menolak Islam, sehingga orang Melayu sendiri yang beragama Islam tidak faham Islam sebenar. Sedangkan Islam adalah agama yang mengajar kehidupan yang sempurna, Islam adalah 'way of life' dan bila diamalkan akan membawa kesejahteraan, keharmonian dan tidak berlaku kekalutan seperti isu penggunaan kalimah Allah."

Sebenarnya, sebelum menyampaikan ucapan penutup itu, pada Isnin, 1 Februari, Tuan Guru Nik Abdul Aziz telah hadir ke Pulau Pinang berucap pada karnival harmoni anjuran PAS Pulau Pinang. Tuan Guru dimaklumi tentang program PAS di sana yang berjaya mengadakan dialog dengan rakan-rakan bukan Islam di salah sebuah gereja. Dilaporkan, kesan dialog itu amat positif, kerana mereka baru nampak dan faham kebaikan Islam. Maka, pada Tuan Guru Nik Abdul Aziz ia suatu langkah proaktif. Khabarnya Tuan Guru juga amat gembira dengan usaha PAS Pulau Pinang itu, tetapi agak terkilan kerana tugas itu sepatutnya dibuat oleh Umno yang memegang tampuk kuasa.

Maka, Tuan Guru menanggapinya punca kekalutan isu-isu agama di negara ini disimpulkan sebagai kegagalan Umno selaku pemegang tampuk kerajaan. Pemimpin Umno telah gagal menjalankan tanggungjawab agamanya kepada rakyat di negara ini. Sebab itulah orang Islam sendiri tidak faham Islam, sementelah pula orang bukan Islam jauh sekali untuk memahaminya. Contohnya, pemimpin MCA dan MIC mahupun Gerakan tidak faham-faham tentang Islam meskipun lebih 50 tahun berkawan dengan pemimpin Umno.

Lalu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz mengemukakan rasionalisasi demi penyelesaian segala-gala kemelut agama yang dicetuskan oleh Umno sejak berkuasa!!

Menerusi sidang media di majlis penutup seminar anjuran Tatok itu, kenyataan spontan Tuan Guru Nik Abdul Aziz antaranya menyebutkan, "saya datang hanya untuk menutup majlis, tapi saya sangat gembira kalau boleh majlis macam ini dibuat antara PAS dengan Umno.

"Lebih 50 tahun kita bertengkar dengan Umno, 50 tahun Umno bertengkar dengan PAS. Apa hasil? Banyak masa habis, Umno guna masa begitu banyak, kepakaran begitu banyak, lawan gerakan Islam yang dibawa oleh PAS, apa hasilnya?

"PAS adalah sebuah parti yang ditubuhkan oleh alim ulama dalam Umno sendiri dan adalah tidak wajar berlaku perbalahan yang terus menerus.

"Tolong fikirlah, 50 tahun Umno bertengkar dengan PAS dan PAS ini dibuat oleh alim ulama Umno.

"Pada 1946, semua orang Melayu bersama Umno; tok gurunya, cikgunya, pelajar, tetapi pada 1951, alim ulama telah keluar Umno dan buat parti baru namanya PAS, Persatuan Islam Se-Tanah Melayu kemudian berubah jadi Parti Islam Se-Malaysia.

"Jadi apa pentingnya Umno bertengkar dengan PAS, sedangkan PAS bawa Islam... (kena faham-P) selepas kita mati, Melayu tidak ada guna, Cina tak ada guna, Arab tak ada guna.., yang berguna hanya Islam dan yang bertakwa kepada Allah. Jadi apa gunanya berjuang kebangsaan (merujuk kepada Umno-P)?

"Jika isu pembangunan yang menjadi punca Umno memusuhi PAS, ia tidak sepatutnya berlaku kerana PAS juga bawa pembangunan kepada negeri yang kita perintah.

Atas asas rasionalisasi tersebut Tuan Guru Nik Abdul Aziz meminta tokoh-tokoh Umno agar sedia untuk berbincang dengan PAS.

Walau bagaimanapun, apabila akhbar arus perdana keesokan harinya (5 Februari) telah memutar kenyataan Tuan Guru Nik Abdul Aziz di sidang media penutup seminar tersebut. Akhbar-akhbar itu telah mengemukakan tajuk berita yang agak terkeluar daripada konteks asal maksud Tuan Guru. Sehingga ada pembaca yang terkeliru yang kononnya PAS mahu menjalin kerjasama politik dengan Umno.

Maka, di sana dilihat peranan akhbar mahupun media elektronik turut mengambil peluang memanaskan kenyataan Tuan Guru, termasuk menyiarkan maklum balas pemimpin Umno dan tidak terkecuali Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib memberi maklum balas dengan nada yang sinis, apabila menyifatkan pendirian Tuan Guru Nik Abdul Aziz selalu berubah-ubah seperti ramalan cuaca.

Paling tidak tepat dan tersasar apabila akhbar Utusan Malaysia (8 Februari) melaporkan kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang semasa lawatan kerjanya ke Kuching, Sarawak. Berita berkaitan isu yang sama atas tajuk "PAS sedia kerjasama dengan Umno" dan berita yang sama turut disiarkan oleh Utusan Borneo. Akhbar berkenaan telah memetik kenyataan yang sebenarnya menggambarkan wartawan berkenaan tidak memahami konteks sebenar apa yang diterangkan oleh Presiden PAS.

Wartawan berkenaan melaporkan, "Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan parti itu sedia bekerjasama dan berbincang dengan Umno dalam setiap perkara termasuk yang berkaitan dengan hal politik dan agama.

"Polisi kerjasama antara PAS dan Umno sama ada membabitkan perkara yang boleh dibincangkan atau sebaliknya bukanlah pertama kali dilakukan kedua-dua parti berkenaan dan ia merupakan polisi yang berpanjangan dari dulu hingga hari ini.

"Kerjasama di dalam politik merupakan amalan demokrasi sebagaimana yang diamalkan negara ini yang mana PAS boleh bekerjasama dalam perkara yang boleh dipersetujui dan jika perkara sebaliknya berlaku, parti akan memberi nasihat dan ia amalan biasa bagi negara demokrasi.

"Dalam negara demokrasi, kita tidak berperang, sebaliknya kita berhujah, berdebat, berbahas dan berbincang. Tidak ada pemisahan antara agama dan politik bagi PAS.

"PAS akan memberi pandangan dalam menangani perkara berkaitan sosial, ekonomi dan ketenteraman awam malah ada antara pandangan parti diterima kerajaan secara senyap-senyap.

Apapun catatan wartawan berkenaan, ia telah tersasar dan tidak menepati maksud sebenar kenyataan Presiden PAS. Ini kerana maksud asal cetusan Tuan Guru Nik Abdul Aziz adalah berbincang atas dua isu utama mengenai kepentingan agama Islam, iaitu berkisar kepada persoalan kenapa Umno tolak Islam terima sekular dalam perjuangannya, dan hakikat kemelut salah faham terhadap Islam adalah kerana kegagalan Umno menguruskan kefahaman Islam yang menyebabkan rakyat tidak memahami Islam sebenar.

Oleh itu, Presiden PAS pun mengeluarkan kenyataan di atas konteks yang sama dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz, yang menyatakan kepada wartawan semasa di Kuching bahawa isu agama yang dicadangkan untuk berbincang dengan Umno itu adalah dalam skop memahami Islam adalah agama yang lengkap - meliputi semua aspek kehidupan termasuk ekonomi, politik pentadbiran, pembangunan, sosial, undang-undang, kehakiman, mahupun ketenteraman.

Sayugia, pihak akhbar dan media amnya dapat bertindak adil di dalam melaporkan sesuatu yang tidak tepat dengan maksud sebenar. Dalam isu, kenyataan Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang tidak sepatutnya dijadikan asas untuk mengeruhkan misi PAS bersama Pakatan Rakyat berdepan dengan Umno dan BN demi keadilan, kesejahteraan dan kemakmuran rakyat.

Semoga Tuhan Yang Esa membekalkan kewarasan nyata kepada mereka yang tumpul daya warasnya, dan terzahir keharmonian Islam sepanjang zaman.

Wan Nik Wan Yussof,
Setiausaha Politik
Menteri Besar Kelantan.

Kita Pejuang PAS

Oleh Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz

Salam Kamunting,

Menjadi seorang muslim adalah bermaksud memasukkan diri ke dalam kerangka dan acuan Islam. Ia bermaksud anda beriman kepada Allah, tuhan yang esa lalu akur dan tunduk kepada pengajaran dan undang – undangNya.

Apabila anda kekal di dalam acuan itu, anda adalah seorang muslim yang sempurna. Jika sebaliknya, anda cacat dan kecacatan itu akan terus membesar dan bertambah mengikut tahap perlanggaran terhadap undang – undangNya. Jika berlaku keengkaran, ia bererti kekufuran dan keluar dari agama.

Menjadi seorang muslim bererti memasuki perlumbaan menuju kesempurnaan. Kesempurnaan adalah berusaha menjadikan diri semakin dekat dengan Allah yang esa dan memperolehi keridhaanNya.

Kesempurnaan dan taqarrub kepada Allah hanya berlaku apabila kita semakin mendekati sunnah RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam. Baginda adalah penunjuk jalan yang satu dan baginda adalah ikutan yang satu di dalam agama. Tiada siapa boleh berlumba di atas landasan selain landasan binaannya.

Kemuncak perlumbaan adalah apabila anda menjadi pejuang Islam yang ikhlas.

Ia bererti anda bukan hanya beriman dengan Islam, bahkan menyiapkan diri sebagai pejuang yang mendukung perjuangan menegakkan ugama Islam di dunia dan kehidupan ini. Itulah matlamat perutusan para anbiya’. Mereka membawa ugama dan memperjuangkannya demi mencapai taqarrub dan keridhanNya.

Islam di dunia ini mesti tegak berdiri ke atas seluruh agama dan ideologi yang lain. Justeru ia menuntut perjuangan dan para pejuangnya.

Menjadi seorang pejuang Islam bukanlah sekadar hanya menjadi seorang muslim biasa. Ia menuntut usaha besar menuju puncak tertinggi. Ia penuh kesukaran dan ia pastinya milik para pejuang yang bersedia menempuh kesukaran dengan jayanya.

Menjadi seorang pejuang bermaksud bersedia patuh kepada peraturan sebagai seorang tentera. Ia menuntut disiplin pada tahap tertinggi. Bagaimana boleh dibayangkan sebuah kemenangan yang dibarisi para tentera yang mempunyai disiplin yang lemah?

Justeru anda tahu bahawa bukanlah senang untuk menegakkan Islam di dunia ini. Menegakkan Islam bererti menundukkan seluruh kekuatan kufur yang merajai dunia hari ini.

Ia menuntut pejuang Islam untuk menguasai banyak perkara dan menggerakkannya dengan penuh disiplin. Pastinya, ia bukan dekat jaraknya, pendek masanya dan mudah caranya.

*****

PAS adalah wadah perjuangan Islam.

Di dalam PAS, pejuangnya dikaderkan seawalnya. Sebelum mencecah umur suku abad, ahli PAS yang dilatih dan ditarbiyah sebenarnya sudah melalui dan menguasai disiplin seorang pejuang. Apabila dia muncul di medan, sayugianya dia tidak kekok untuk berkenalan dengan selok belok dan ranjau di perjalanan dakwah. Itulah sebaik – baik persediaan untuk anak – anak muda yang berjuang.

Adapun jika seorang pejuang PAS itu terlepas daripada latihan dan tarbiyah di awal umurnya dan hanya bersama PAS selepas berlalu umur mudanya, dia akan tetap melalui perkaderan sebagai pejuang PAS. Ia tentunya tak sama dan dipisahkan oleh jumlah masa yang lebih terhad untuknya. Justeru modul dan disiplinnya adalah berbeza.

Anak muda pejuang adalah lebih berpeluang untuk lebih berjaya. Umur muda tiada galang ganti dengan umur tua.

Tetapi, disiplin adalah disiplin. Ia menuntut itiqamah dan konsistensi.

Saat itu, ia tidak menjamin umur muda berbanding umur tua. Orang lama dan baru adalah sama.

Justeru gejala kegelinciran dan kelayuan melanda tanpa mengenal usia dan tahap. Yang menjadi penyelamat hanyalah kekuatan diri untuk bertahan dan istiqamah dalam perjuangan. Para anak muda sayugia sekali diingatkan dengan fenomena ini agar mereka lebih bersedia untuk menangani ujian yang lebih getir dalam perjuangan. Jika tidak, mereka akan berhadapan kerugianyang tiada galang gantinya. Mereka terlucut gelaran ’al mujahidun’ yang diimpikan setiap muslim yang mencintai al rasul dan perjuangannya.

Beristiqamah dan berdisiplin juga adalah tanggung jawab dan amanah. Keretakan padanya, selain membawa padah pada diri sendiri juga akan menggoncang keutuhan jamaah dan perjuangan. Setiap kita mestilah berusaha mengelak daripada menjadi beban kepada jamaah. Semakin kita berada diatas, semakin besarlah kesan daripada perlakuan dan tindakan kita.

Pemimpin tertinggi mestilah memiliki ciri – ciri pejuang yang lebih bernilai berbanding pemimpin bawahan dan pejuang di bawah.

Secara mudah dan jelas, setiap kita mesti kagum dengan ringkasan yang dilumatkan oleh al ustaz Hasan al Banna di dalam rukun bai’ahnya yang sepuluh. Jika ahli PAS berpegang padanya nescaya parti PAS akan sentiasa unggul dan dihormati pada bila – bila masa.

Saya melihat suasana sukar hari ini banyak berpunca daripada kegagalan kita melumati kembali apa yang telah kita lumati seawal zaman awalan tarbiyah dulu. Kita disibukkan untuk berlumba merungkai bermacam masalah sedang kita sendiri adalah sebahagian daripada masalah.

Sebuah rumah tangga teguh bahagia kerana ketaatan kepada ketuanya, bukan kerana kegalakan mencari kebebasan bersuara di dalamnya.

Disiplin adalah patuh. Istiqamah adalah cekal.

Ayuh, patuh dan cekal berjuang!

Isnin, 8 Februari 2010

Awasi blogger semacam Hitler?

Sebilangan blogger hari ini semacam Hitler, nak 'paksa' orang ramai percaya dan faham dan terima sesuatu yang tidak betul, hendaklah diulang-ulangkan propaganda yang salah itu sehingga orang merasa biasa dan menerimanya; atau paling tidak setelah orang ramai diasak bertalu-talu dengan cerita rekayasa ini, ramai orang akan meragui kredibiliti orang yang sedang dimusnahkan itu...itulah yang digunakan oleh Hitler.

Tok ingatkan RTM & TV3 sahaja menggunakan pendekatan ini, rupa-rupanya ada blogger yang sebegitu.

Kumpulan ini juga sedang membina kekuatan dan sokongan dengan menarik ‘selera’ daripada kalangan Aktivis dan Penyokong PAS untuk membantai kepimpinan yang sedia ada dengan hujah KERANA SAYANGKAN PAS dan menegakkan NEGARA ISLAM.

Kita mahu menbantu jamaah, bukannya menyusahkan jamaah. Asas Tarbiyah adalah untuk diamalkan, bukan dipertikai. Bagi yang tak faham belajarlah dan amalkanlah, kalau tidak, terjunlah dengan labu-labunya.

Gerak kerja ahli parti diperingkat akar umbi langsung tiada nilai bagi mereka. Selagi boleh bantai, bantai. Kononnya kepimpinan PAS lemah dan bodoh. Cuba kita review kembali, dikala kita menaungi Kelantan, Kedah, Perak dan Selangor ; Siapakah Presiden PAS ketika itu?

Perlukah seorang presiden menceritakan strategi parti kepada umum dan media semata-mata untuk menunjukkan beliau seorang yang bijaksana? (Tok ada satu cerita pasal ni, nanti Tok bagitau)

Puak ni selagi mana boleh belit mereka akan belit. Sekarang ini timbul pula isu perbincangan terbuka dan tertutup. Wah! Intelek sungguh.. Sama ada TGNA atau TGAH, perbincangan terbuka atau tertutup, pokok dan isu yang nak dibincangkan adalah mengenai hal ehwal Islam dan kebajikan rakyat.

Bukan juga soal buka dan tutup. Dalam muktamar yang lalu, Presiden , Kepimpinan dan ahli muktamar sepakat untuk menutup isu ini, tiba-tiba hari ini ianya dibuka kembali oleh TG Mursyidul Am. Itu tidak pelik kerana isu yang ingin diperjuangkan adalah ISLAM dan Kebajikan Rakyat.

Yang peliknya, TG Presiden juga yang ditohmah dan TANGGAPAN SALAH tersebut terus dicanang kembali oleh puak2 ini. Sungguh Intelek...

Sedangkan bagi yang dituduh menyokong UG tidak pula membantai TGNA walau pun ianya memberikan persepsi ‘seperti meludah kelangit’ (kalau putar belit ayat ni, memang celaka!!)

UG sendiri telah disalahtafsirkan oleh puak ala Hitler ini kononnya PAS masuk UMNO. Sedangkan gagasan idea yang sebenar adalah Kerajaan Perpaduan bukannya Kerajaan Campuran. Klik disini untuk membezakan Kerajaan Perpaduan dan Kerajaan Campuran dan mengapa TG Presiden tidak memperincikannya bersesuaian dengan bi’ah semasa.

Sungguh tegar dan keras hati puak-puak ini, sedangkan mereka tahu yang ditohmah itulah merupakan anchor-anchor didalam Pakatan Rakyat. Membimbing agar ianya selari dengan Islam, dan membersihkan kudis-kudis yang ditinggalkan UMNO. (Bukan semua yang datang berkudis)

Sabtu, 6 Februari 2010

Presiden PAS nyata mendahului massa

Terbaru Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat telah menyatakan kesudian beliau untuk berbincang atau bermuzakarah dengan UMNO isu Islam dan kepentingan rakyat.

Masih kau orang ingat? once upon a time ago, isu Muzakarah ini menjadi polemik dan pertelingkahan dikalangan ahli, penyokong dan rakan Pakatan Rakyat. UMNO menggunakan peluang sebaik-baiknya untuk menangguk di air yang keruh ini.

Polemik Muzakarah yang tercetus pada pertengahan tahun 2008 menimbulkan rasa gundah dikalangan ahli, petugas mahu pendokong gerakan Islam. Idea dan gagasan pemikiran yang dilontarkan oleh Presiden untuk difikirkan bersama telah disalahtafsirkan dan dihentam secara membuta tuli.

Dan ketika inilah juga beberapa penyakit dan kudis mula timbul didalam gerakan Islam bernama PAS. Thiqah, Wala', dan Sir Wa Haza seolah-olah tidak bernyawa bilamana ditakdirkan Allah Pakatan Rakyat berjaya menaungi beberapa negeri. Dengan alasan untuk menjaga Pakatan Rakyat, adab, tatasusila dan ukhuwwah dalam PAS telah kesampingkan sehingga menimbulkan pergeseran sesama sendiri. Walhal Kepimpinan ini juga sebenarnya memandu Pakatan Rakyat ke arah kerjasama dan pencapaian terbaik.

Pemimpin ditohmah, dicerca dan dihina semahu nafsunya. Walaupun pelakunya hanya segelintir, namun terkesan terhadap yang lain dengan penggunaan media baru yang lepas bebas. Dan kemudiannya timbullah idealisme anti Muzakarah/Muqabalah dan anti UG. Objektif dan perjuangan idealisme telah direka dan dalam waktu yang sama membuat tuduhan liar terhadap beberapa pimpinan. Walau bagaimana pun kepimpinan tetap patuh kepada arahan jamaah dan tidak mengeluarkan kenyataan secara sembarangan.

2 Tok Guru cuba dilagakan dan digambarkan seolah-olah berbalah. Perbezaan pendapat dikalangan ulama' sepatutnya tidak perlu kita bimbang kerana natijahnya Insyaallah akan membuahkan hasil yang baik.

Saya tidak berhajat untuk memperincikan perkara ini secara panjang lebar, cukuplah dengan mengajak kita semua berfikir dan merenung kembali apa yang telah berlaku. Dato' Seri Presiden telah melontarkan idea ini kira-kira 2 tahun lalu dan sekarang nyata ianya telah disambut baik oleh TG Mursyidul Am. (nanti ada orang yg putar belit ayat ni - celakalah dia!)

Kepimpinan dan Ulama' mahu yang terbaik untuk masa depan Islam dan PAS dalam perjuangan membebaskan tanah air daripada kepincangan dan korupsi. Dalam sesebuah negara Islam sendiri, seharusnya keadilan itu ditegakkan walau apa bangsa dan agama diamalkan oleh rakyatnya.

Nasihat saya , henti-hentikanlah perjuangan anti muzakarah/muqabalah dan anti UG. Bersatulah dengan mewujudkan Wihdatul Fikr dan Wihdatul Amal dalam menjalankan kerja Dakwah Islam dan persiapan PRU13. Kerana setiap perbuatan kita akan dihitung di hari yang terakhir.

Selasa, 2 Februari 2010

Anai-anai : Apabila Emosi Menguasai Diri

Demokrasi berparlimen di Malaysia diakui oleh semua pihak baik pemerintah dan yang diperintah. Walau bagaimanapun sejak akhir-akhir ianya semakin hari semakin tercalar dengan rakus dan haloba manusia. Apabila kuasa berada ditangan, terkadang hati menjadi gelap.

Separation of power sekadar untuk bahan akademik, bukan untuk dipraktik. Jatidiri anak bangsa terhakis dek fahaman orientalis.

Apa khabar Kota Seputeh dan DUN Perak??

Tok ni kalau intro suke melencong-lencong dulu... hehe. Maklum la, dalam hutan mane ade jalan yang straight macam highway.

Seperti yang diketahui umum, anai-anai ini bijak didalam menjalankan kegiatan subversif. Mereka masuk kedalam rumah kita dan mengorek papan lantai dan dinding secara senyap. Kalau ada kayu cengal, ia tak korek.

Persoalannya, siapakah anai-anai dalam PAS?Apakah agenda yang dibawa oleh anai-anai ini?Mungkinkah anai-anai ini mempunyai kawan yang membantu daripada luar(Parasit)?

Mungkin korang lebih tahu daripada Tok. Dan barangkali Tok tahu apa yang korang tak tahu.

Daripada persepsi media sama ada TV, Radio, Surat Khabar, Laman Web dan Blog, sebahagian mereka memaparkan bahawa kepimpinan PAS berantakan dan berbalah sesama sendiri. Apabila emosi menguasai diri, blog, laman web dan media dijadikan tempat melepaskan hawa.

Hilang pertimbangan dan pelajaran sebelum ini, hasil tarbiyah melayang entah kemana.

Selain memperlekehkan Al-Wala’, Thiqah dan taat pada arahan jamaah, ulama’ dan pimpinan juga dijadikan mangsa untuk dicerca dan dicaci dalam sinis juga biadap.

Dimana penolong-penolong dan pejuang-pejuang agama?

Dahulunya Abu Bakar menjadi pembantu kepada Nabi Muhammad S.A.W
Dahulunya Umar Al-Kattab menjadi pembantu kepada Abu Bakar
Dahulunya Uthman menjadi pembantu kepada Umar Al-Khattab
Dahulunya Ali menjadi pembantu kepada Uthman

Begitulah juga kepimpinan PAS Dr Burhanuddin Helmi dibantu Datuk Asri Muda dibantu Ustaz Yusof Rawa dibantu Ustaz Fadzil Noor dibantu TG Hj Abdul Hadi mengikut zaman masing-masing

Persoalannya sekarang, siapakah yang akan membantu Presiden PAS sekarang ini? Menjadi perisai, bahu dan tongkat kepada Presiden adalah tanggungjawab semua ahli PAS.

ini budak berani : http://batuapi-firestone.blogspot.com/